Farid Kamil Dan Diana Danielle Sah Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz ~ Bila Han Bercerita

Saturday 3 November 2012

Farid Kamil Dan Diana Danielle Sah Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz


Farid Kamil Dan Diana Danielle Sah Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz


Dengan sekali lafaz nikah, aktres jelita Diana Danielle Danny Beeson akhirnya bergelar isteri kepada aktor dan pengarah filem, Farid Kamil Zahari dalam satu majlis yang diadakan di Flamingo by the Lake di sini, pagi Sabtu.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama yang juga Pendaftar Kanan Perkahwinan Daerah Gombak, Daim Jajuli kira-kira pada pukul 9.12 pagi berwali hakim manakala dua rakan Farid, Ahmad Razif Hamzah dan Abdul Hamid Abdul Razak menjadi saksi.

Mengenai pernikahan itu, Diana berkata, dia sukar untuk menggambarkan perasaannya kerana berasa lega, tenang dan gembira dengan kelancaran majlis.

“Saya tidak terkata. Syukur sangat semuanya (majlis) berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada keluarga mama yang datang jauh dari Perak dan keluarga baru (mertua) dari Kedah,” katanya.

Farid pula berkata, dia berasa gembira kerana akhirnya dia dapat memperisterikan Diana yang sudah hampir empat tahun dikenalinya.

“Saya gembira dan bersyukur kerana dapat isteri. Sejak awal perkenalan lagi saya sudah terdetik untuk memperisterikan Diana.

“Namun, ia tertangguh kerana faktor usia Diana yang terlalu muda dan belum sampai seru (ketika itu). Saya berdoa agar Diana menjadi isteri yang soleh dan perkahwinan ini kekal ke alam syurga,” katanya.

Diana, 21, menerima mas kahwin sebanyak RM10,000 dan wang hantaran bernilai RM20,000 nilai pelaburan emas.

Pada majlis berkonsepkan pernikahan dalam taman itu, Diana ditemani ibunya, Norsiah Ramli manakala pihak lelaki diwakili ibu dan bapa, Datuk Dr Zahari Che Dan dan Datin Sharifah Bardah Idid Syed Abdyllah Idid serta adik-beradik Farid.

Majlis itu dihadiri kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media.

Aktres berdarah kacukan itu mengenakan baju tradisional rona putih dan merah jambu rekaan Wanpa manakala Farid, 31, segak dengan sut putih rekaan Andy.

Pihak perempuan menerima lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang berupa motosikal mini Kawasaki KSR 110, telekung dan Al Quran, cincin Tiffany & Co, wang hantaran dan sireh junjung.

Sementara pihak Farid pula mendapat tujuh dulang hantaran iaitu tepak sireh, sebentuk cincin dan dompet, sebuah album foto, sebuah motorsikal mini, produk kecantikan Hugo Boss, majalah Polo International dan manisan.

Antara selebriti yang menyerikan majlis adalah penerbit MIG David Teo, pelakon Yana Samsudin dan Iqram Dinzly.

sumber

0 comments:

Post a Comment