Thursday, 27 April 2017
The Warka : Menara Yang Mampu Mengumpul Air Dari Udara Nipis Di Ethiopia
Di kawasan pergunungan Ethiopia, mencari bekalan air untuk diminum merupakan satu tugas yang memakan masa dan berbahaya. Kaum wanita dan kanak-kanak sering berjalan berjam-jam lamanya setiap hari hanya untuk membawa pulang bekalan air untuk kegunaan keluarga mereka.
Walaupun menempuh perjalanan yang berbahaya selama berjam-jam, air yang sering dibawa pulang adalah tercemar dan tidak selamat untuk diminum. Pihak Vittori Lab telah mencipta satu kaedah yang bijak bagi mendapatkan sumber air bersih tanpa perlu lagi menggadaikan keselamatan dan berjalan berjam-jam lamanya.
Menara air yang dikenali sebagai The Warka ini telah diilhamkan dari sebatang pokok Warka liar di Ethiopia, iaitu sejenis pokok ara yang melambangkan kesuburan dan kemurahan hati. Walaupun pokok Warka semakin hilang di Ethiopia, tetapi menara air ini akan menjadi suatu mercu tanda untuk penduduk asli Ethiopia pada masa hadapan berkumpul.
Dengan ketinggian kira-kira 30 kaki, menara air ini mampu untuk mengumpul air dari udara nipis dengan menggunakan sejenis kain yang berfungsi untuk pemeluwapan dan pengumpulan. Uniknya, setiap menara mampu dipasang dalam beberapa hari oleh penduduk kampung dengan hanya menggunakan bahan-bahan tempatan tanpa perlunya kemahiran khas.
Struktur yang juga ringan ini mampu mengumpul sebanyak 100 liter air (lebih 26 gelen) yang selamat diminum pada setiap hari. Dengan adanya bekalan air bersih ini, kesihatan penduduk lebih terjamin dan kanak-kanak perempuan umumnya, boleh pergi ke sekolah dari menghabiskan masa-masa mereka untuk mencari air.
0 comments:
Post a Comment