JOHOR BAHRU: Kumpulan Bocey muncul juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016 pada saingan minggu terakhir di Stadium Tertutup Perbandaran Pasir Gudang, di sini, malam ini.
Gandingan Abam, Acey dan Fad meraih wang tunai RM500,000 dan trofi. Mereka menewaskan tiga pesaing lain dalam persembahan yang bertemakan muzikal dan bebas.
Kumpulan Joras yang dianggotai Shuk, Rahim dan Joey muncul naib juara dan memenangi hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi.
Tempat ketiga dimenangi Kumpulan Puteh yang meraih wang tunai RM150,000 serta trofi.
Kumpulan LOL yang dianggotai Tauke, Angah dan Ajak pula di tempat keempat yang menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.
Hadiah disampaikan pelawak veteran tanah air, Abdul Wahid Ahmad atau lebih dikenali sebagai Wahid Satay yang turut diiringi Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu ASTRO, Datuk Khairul Anwar Salleh.
Peserta diadili juri tetap, Ziana Zain, Shaheizy Sam serta dua juri luar iaitu Najip Ali dari Singapura dan Bunga Citra Lestari dari Indonesia yang mewakili 70 peratus undian manakala bakinya daripada penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
MLM 2016, yang sekali lagi diacarakan Datuk AC Mizal, masih mengekalkan format asal seperti mula diperkenalkan pada tahun 2011.
Edisi kelima MLM ini terus menampilkan gabungan pelawak baharu dan lama, termasuk peserta dari Indonesia serta Singapura dengan 15 kumpulan bertanding.
sumber
0 comments:
Post a Comment