Hello semua.pengguna kereta,motorsikal.korang selalu isi minyak ron 95 ke ron 97?? Okay,sekarang ni ramai yang pening dan kurang faham apa itu ron 95,han tak la tahu sangat.tapi nak share sikit2 boleh la.mengikut sedikit sumber dari artikel lain dan website automotif.sebelum tu baca keratan berita dari bernama kat bawah ni
KUALA LUMPUR,(Bernama) - Sebelum ini setiap kali mengisi minyak petrol, Izzat Amir, hanya menumpukan perhatian pada nombor yang tertera di ruang harga.
Namun sejak pelarasan klasifikasi minyak petrol kepada dua jenis RON (Research Octane Number) -- RON95 dan RON97 -- September lalu, perhatian eksekutif muda ini lebih tertumpu kepada nombor RON yang tercatat.
Izzat berasakan minyak RON95 menjadikan enjin kereta Proton Waja Premium keluaran tahun 2003 miliknya kurang mantap dan mengeluarkan bunyi bising.
Berbeza pula dengan pengalaman P.Aravind yang mengatakan beliau menggunakan RON95 untuk kereta Peugeot 207cc dan berpuas hati dengan penggunaan petrol dan kecekapan enjinnya.
Walaupun berasa skeptikal pada mulanya, Aravind mencuba RON95 selepas melihat spesifikasi pada pelekat di penutup tangki minyak.
Tetapi yang mengecewakan beliau ialah terdapat pekerja di stesen minyak yang mengatakan tindakannya menggunakan petrol yang lebih 'murah' merosakkan enjin kereta.
Seperti Izzat dan Aravind, anda juga pasti pernah melihat minyak petrol yang diklasifikasi sebagai RON95 dan RON97 di stesen-stesen minyak, terbaca pelbagai isu berbangkit mengenainya dan mungkin juga sebagai pengguna, keliru dengan klasifikasi ini.
Kerajaan memperkenal minyak petrol RON95 bagi menggantikan RON92 yang dimansuh jualannya manakala RON97 menjadi petrol premium mulai 1 Sept lalu.
Meski pun telah dihebahkan dan diberi penerangan secara meluas, masih ramai yang salah faham mengenai keperluan klasifikasi RON ini.
APA ITU RON?
RON berkaitan dengan campuran dua unsur asas iaitu oktana dan pentana yang melengkapkan sifatnya menjadi bahan bakar petrol.
RON95 bermaksud 95 peratus kandungannya ialah oktana dan selebihnya pentana. Begitu juga dengan RON97 iaitu hanya tiga peratus pentana dan selebihnya oktana.
Pada asasnya RON ialah gred bagi keupayaan petrol menentang pembakaran tidak normal dan menjana tenaga pada masa yang sepatutnya ketika proses pembakaran.
Penggunaan RON yang betul untuk enjin kenderaan, biasanya dinyatakan di dalam manual pemilik, dan kadang kala pada pelekat yang terdapat pada penutup tangki minyak.
Pengguna seharusnya tidak bimbang mengenai hal ini kerana kebanyakan kenderaan boleh menggunakan petrol RON95 tanpa sebarang masalah atau kehilangan kuasa memecut.
Pakar kejuruteraan produk Chevron, Greg Engeler berkata ramai yang salah faham bahawa petrol dengan RON yang lebih tinggi akan menjadikan enjin lebih cekap sedangkan RON yang lebih tinggi daripada spesifikasi yang ditentukan tidak akan memberi kesan yang signifikan.
Katanya teknologi enjin, jenis kenderaan dan cara pemanduan memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan ekonomi petrol berbanding perbezaan nilai RON.
Tambahnya lagi kelebihan jangka panjang dengan penggunaan RON95 ialah bila Malaysia memenuhi spesifikasi Euro 2M, proses penerimaan teknologi baru yang lebih cekap dan mesra alam daripada Eropah akan menjadi lebih mudah.
Menurut portal majalah kereta.com.my, di Eropah, klasifikasi keseragaman kelas bahan bakar petrol dibahagikan kepada tiga kelas utama iaitu RON91, RON95 dan RON98.
Pembahagian itu dibuat berdasarkan jenis keperluan bahan bakar yang diperlukan pada setiap jenis enjin daripada pengeluar yang berlainan.
RON91 dicipta untuk enjin yang mampu menerima petrol berplumbum, RON95 untuk petrol tanpa plumbum yang juga disebut petrol premium dan RON98 atau disebut juga sebagai Super Plus atau Super Premium.
Di Eropah juga penggunaan RON95 ialah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan.
CUBA SEMUA JENAMA
Jika anda masih tidak berpuas hati, pendekatan Herlina Ahmad mungkin patut dicontohi.
Pensyarah muda yang memandu Toyota Avanza 1.3 keluaran tahun 2006 ini mencuba pelbagai jenama petrol RON95 yang terdapat di pasaran dan merekodkan jumlah perjalanan dan kos secara terperinci.
Beliau mendapati walaupun perbezaan tidak begitu ketara, dua jenama kurang efisien dari segi ekonomi, satu kurang cekap dan beliau berpuas hati dengan dua lagi jenama yang lain.
"Pikap kereta normal, kadang-kadang saya memecut hingga 140km sejam. Keluar dari simpang pun macam biasa," katanya.
Begitu juga dengan Noor Shafina Adullah yang menggunakan RON95 untuk kereta Kembara yang dipandunya sejak lapan tahun lalu.
"Setakat hari ini, tiada masalah. Saya rasa ia lebih kepada kesan psikologi. Kalau ada pun perbezaan saya rasakan ialah petrol RON95 syarikat A lebih menjimatkan atau efisyen dari syarikat B," katanya yang menggunakan petrol berselang-seli dengan gas NGV.
JANGAN MEMBAZIR
Jadi, sekiranya enjin anda cukup sekadar dengan pembakaran RON95, kenapa perlu membazir membeli petrol RON97?
Sebaliknya, jika enjin anda dicipta untuk membakar dengan RON97, adalah tidak memadai menggunakan RON95 kerana omboh akan mengalami masalah ketukan.
Dakwaan mengatakan semakin tinggi RON adalah lebih baik dan mampu menghasilkan enjin yang lebih berkuasa juga tidak benar. Petrol yang baik ialah petrol yang sesuai dengan RON yang diperlukan oleh enjin.
Setiap pengeluar mempunyai resepinya yang tersendiri untuk menjadikan petrol mereka membakar dan membersih dengan efisien. Mereka memiliki pusat penyelidikan untuk membuat rumusan petrol dengan jisim seperti bersifat 'mencuci', mengekalkan tahap pembakaran, ketahanan dengan suhu dan pelbagai aspek untuk memastikan petrol mereka konsisten mengikut spesifikasi enjin yang direka untuknya.
Ramai yang salah faham bila menganggap RON97 menghasilkan lebih banyak kuasa berbanding RON95, apatah lagi realitinya lebih tinggi nilai RON, lebih sukar bahan api dibakar. RON hanya merujuk kepada kemampuan bahan api untuk menahan ketukan semata-mata.
Enjin yang memerlukan nilai RON yang lebih tinggi lazimnya mempunyai nisbah mampatan yang lebih tinggi seperti Satria GTI.
PERAKUAN PENGELUAR KERETA
Kesimpulannya, RON ialah berdasarkan kesesuaian enjin, bukan kualiti semata-mata.
Apatah lagi hampir semua pengedar dan pengeluar kereta di negara ini telah mengeluarkan kenyataan mengenai kesesuaian model mereka dengan RON95.
Antaranya, kumpulan Automotif Naza menggalakkan pemilik kenderaan Naza, KIA dan Peugeot yang menggunakan bahan api petrol menggunakan RON95.
Syarikat itu berkata RON95 sesuai bagi kereta Naza Ria, Naza Citra, Naza Suria, Naza Citra II Rondo, Kia Sportage, Kia Carnival, Kia Carens, Kia Picanto, Kia Optima, Kia Spectra5, Kia Spectra, Kia Rondo, Naza 206 Bestari, Peugeot 206, Peugeot 407, Peugeot 308 Turbo, Peugeot 308Vti dan Naza Forza manakala Naza Sorento, Kia Sorento dan Kia Pregio menggunakan diesel.
UMW Toyota Motor juga mengeluarkan kenyataan petrol RON95 sesuai bagi kegunaan semua kenderaan Toyota dan Lexus yang dijual oleh syarikat itu.
Pengedar eksklusif kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia itu berkata pemilik kereta-kereta ini, yang ketika ini menggunakan petrol RON97, boleh beralih kepada RON95 tanpa perlu bimbang akan masalah kerosakan enjin atau hilang prestasi.
Honda Malaysia juga mengumumkan bahawa semua model yang diedarkan oleh syarikat itu serasi dengan minyak petrol RON95.
Honda Malaysia memberikan jaminan kepada semua pemandu kenderaan Honda bahawa RON95 seharusnya tidak menjejaskan mana-mana model yang diedarkan oleh wakil jualan sahnya, kecuali model Civic Type R.
Civic Type R dicadangkan menggunakan RON97 kerana enjinnya yang berprestasi tinggi, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toru Takahashi.
0 comments:
Post a Comment