Sejak beberapa hari ini, sebuah rumah tradisional Melayu menjadi perhatian di laman sosial. Masakan tidak, lokasi rumah tradisional itu yang terletak di tengah-tengah kawasan pembangunan Kuala Lumpur sudah cukup membuat orang berasa takjub.
Dikenali sebagai Rumah Degil, ia berlokasi di Jalan Chow Kit dan telah berdiri di situ sejak berabad lamanya. Dilaporkan ia dibangunkan sekitar tahun 1926 dari satu kawasan yang lapang, sehinggalah dihimpit dengan bangunan pencakar langit.
Ia didiami oleh seorang nenek yang bernama Norma Manjawali yang telah tinggal di situ sejak lahir pada tahun 1932.
Kini, Rumah Degil tiada lagi di Chow Kit, apabila ia telah diceraikan (bukan dirobohkan) satu persatu untuk tujuan pembinaan semula di lokasi lain.
Ia dilakukan oleh satu pasukan, dipanggil 'Rumah Pusaka Chow Kit' atau RPCK yang menjadi badan yang secara sukarela berusaha memelihara warisan asli di Kuala Lumpur.
Memetik laman The Vocket, RPCK bakal membina semula rumah itu selepas mendapat dana dan mengenalpasti tapak yang sesuai. Nenek Norma pula kini dilaporkan tinggal bersama anak perempuannya di Putrajaya.
Semoga kisah yang sedikit tentang Rumah Degil ini membuka mata lebih ramai pihak tentang warisan yang harus dipertahan agar ia tidak mudah ditelan dengan pembangunan dan juga wang ringgit.
sumber 1& sumber 2
0 comments:
Post a Comment