Tuesday, 24 January 2012
Home »
» Hati-hati risiko guna kad debit
Hati-hati risiko guna kad debit
Pemegang kad debit menghadapi risiko hilang semua simpanan dalam akaun tanpa jaminan bank jika kad itu disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kata Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Setiausah agungnya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata sindiket penipuan boleh mencuri data pemilik kad untuk diklon sebagai kad debit palsu untuk membeli barangan, lapor Bernama.
Tambahnya, kerana kad debit disambung terus kepada akaun pemegang kad dan sebarang pembelian menggunakannya, wang akan ditolak serta-merta daripada akaun pengguna.
"Ini bermakna risiko terletak sepenuhnya pada pemegang kad debit dan bank tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang dialami oleh pemegang akibat penyalahgunaan kad berkenaan," beliau dipetik berkata hari ini.
Berbeza dengan pengguna kad kredit yang mendapat jaminan tertentu bank, pemilik kad debit tidak mendapat jaminan sedemikian.
"Jika kad kredit disalahgunakan oleh pihak tertentu, maka pemegang boleh mempertikaikan jumlah perbelanjaan dan menuntut semula bayaran dari bank," katanya.
Muhamad Sha'ani, yang juga ketua eksekutif Pusat Perkhidmatan Aduan Pengguna Nasional (NCCC), menambah bank tempatan membuat promosi kad debit secara agresif sejak tahun lepas dan pengguna perlu berwaspada untuk memilikinya.
Bagaimanapun sumber perbankan menjelaskan, risiko kad debit adalah minima apabila digunakan dalam negara kerana penggunaannya berdasarkan tandatangan pemegang dan kad mempunyai cip keselamatan.
Tambahnya, seperti dipetik agensi berita itu, pemegang kad debit tidak perlu berhutang untuk berbelanja kerana mereka hanya dapat berbelanja mengikut jumlah simpanan dalam akaun sahaja.
"Ini membantu mendisiplinkan pengguna dari segi perbelanjaan yang tidak perlu atau menanggung hutang berlebihan," kata sumber yang tidak didedahkan identitinya.
Kad debit itu baik untuk bank kerana mereka tidak perlu memberi sebarang kredit kepada pemegang dan sekali gus mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar, tambahnya.
loading...
0 comments:
Post a Comment