TNB rugi bersih RM224.7 juta ~ Bila Han Bercerita

Wednesday 18 January 2012

TNB rugi bersih RM224.7 juta


 MOGGIE pada sidang media, di TNB, yang turut dihadiri   Che Khalib   serta Ketua Pegawai Kewangan TNB, Mohamed Rafique Merican, semalam.
MOGGIE pada sidang media, di TNB, yang turut dihadiri Che Khalib serta Ketua Pegawai Kewangan TNB, Mohamed Rafique Merican, semalam.
Beban kos bahan bakar alternatif jejas prestasi kewangan syarikat

KOS penggunaan bahan bakar alternatif yang tinggi terus memberikan kesan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), apabila ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM224.7 juta dalam suku pertama tahun kewangan semasa, berakhir 31 Ogos 2012.

Ia adalah kerugian bagi tempoh tiga suku kewangan berturut-turut sejak suku ketiga tahun kewangan lalu.
Beban kos penggunaan bahan bakar alternatif yang berpunca daripada kekurangan bekalan gas itu mula menjejaskan kewangan syarikat utiliti itu pada suku ketiga tahun lalu apabila ia mengumumkan kerugian bersih RM440.2 juta dalam tempoh itu.
Jumlah kerugiannya terus bertambah kepada RM453.9 juta pada suku berikutnya, sekali gus mengheret kepada penurunan keuntungannya bagi seluruh tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2011 lalu kepada hanya RM499.5 juta daripada RM3.2 bilion dalam tahun kewangan sebelumnya.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, berkata sepanjang suku pertama tahun kewangan semasa, penggunaan minyak sebagai bahan bakar alternatif untuk syarikat utiliti itu menjana elektrik meningkat hampir 26 kali ganda kepada 271,949 tan, daripada 10,554 tan pada suku pertama tahun lalu.

Beliau berkata, penggunaan minyak disuling, iaitu satu lagi bahan bakar alternatif yang digunakan pula meningkat 28 kali ganda daripada enam juta liter kepada 168.9 juta liter.

“Secara keseluruhannya ia (penggunaan bahan bakar alternatif itu) menyebabkan kos operasi kami meningkat ketara 29.5 peratus sepanjang tempoh itu berbanding kenaikan pendapatan kumpulan hanya 12.5 peratus,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan syarikat utiliti berkenaan bagi tempoh tiga bulan sehingga 30 November 2011. 
Presiden dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata TNB yakin kembali mencatat keuntungan pada suku kedua ini menerusi bayaran pampasan daripada PETRONAS dan kerajaan yang berjumlah RM2 bilion.

“TNB menanggung kos tambahan bernilai RM3 bilion setakat Oktober lalu untuk menggunakan bahan bakar alternatif bagi menjana tenaga elektrik, yang mana berdasarkan perjanjian awal, ia ditanggung bersama PETRONAS dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, bayaran pampasan itu tertakluk kepada semakan semula seterusnya yang akan dilakukan PETRONAS dan TNB menjangka menerimanya selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Che Khalib berkata, bagi menangani masalah kekurangan bekalan gas semasa, kerajaan baru-baru ini menubuhkan sebuah pasukan petugas khas diterajui Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) bagi mengkaji beberapa perkara berhubung garis panduan, peraturan dan undang-undang bekalan gas negara.

“Pasukan petugas khas ini yang disertai kerajaan, TNB dan PETRONAS akan mencari penyelesaian mapan serta jangka panjang mengenai bekalan gas negara,” katanya.

Berdasarkan permintaan tenaga semasa, TNB memerlukan bekalan gas sehingga 1,250 juta kaki padu standard sehari (mmscfd), namun bekalan yang diterimanya kini adalah 1,100 mmscfd, kurang 10 peratus daripada yang sepatutnya.

Mengenai rancangan TNB untuk membeli bekalan gas dari pasaran terbuka, beliau berkata, rundingan sedang diadakan bersama beberapa peserta utama minyak dan gas dunia antaranya Shell, Total dan PETRONAS.

“Dengan adanya rundingan ini, kita akan mendapatkan gas pada harga yang berdaya saing. Kita sedang berunding dengan seberapa banyak peserta global yang ada, namun rundingan kini berada pada peringkat awal,” katanya. sumber
Share:

0 comments:

Post a Comment

loading...

Spectacular Promotions

Blog Archive

Artikel Random

Artikel Lain

loading...