Nik Aziz : Anwar Tidak Menghormati Pas ~ Bila Han Bercerita

Friday 17 February 2012

Nik Aziz : Anwar Tidak Menghormati Pas


Nik Aziz : Anwar Tidak Menghormati Pas

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk  Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan Datuk  Seri Anwar Ibrahim mempertahankan  kenyataannya berhubung sokongan terhadap  sebarang usaha bagi menjamin keselamatan  Israel sebagai mewakili Parti Keadilan Rakyat  (PKR).

Justeru, kata Menteri Besar Kelantan itu, beliau  tidak peduli dengan kenyataan Ketua  Pembangkang tersebut yang dilihat tidak  menghormati pendirian Pas berhubung negara  Israel dan isu pembebasan Palestin.

“Itu dia punya pasallah, kenyataan saya ini untuk  mewakili Pas, dia mewakili PKR. Itu tak apa (Anwar  tidak menghormati pendirian Pas), dia punya  pasal, tak ada apa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas  melancarkan Program Merealisasikan Amal  Makruf Nahi Mungkar Pertubuhan Kebajikan dan  Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kelantan di  Balai Islam Lundang dekat sini hari ini.

Laporan muka depan Sinar Harian hari ini  melaporkan Anwar tetap dengan pendiriannya  mengiktiraf kewujudan negara Israel dengan  syarat tentera negara tersebut perlu berundur  dari tanah Arab, keganasan dihentikan serta  aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin  dihormati.

Anwar turut dilaporkan berkata, beliau memahami  bahawa Pas berpendirian kewujudan negara Israel  adalah haram dan parti itu tidak berhasrat  mengadakan rundingan serta kerjasama dengan  Israel.

Mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa  kenyataan beliau telah disalah erti oleh Pas dan  Majlis Syura parti itu, Nik Abdul Aziz berkata,  setidak-tidaknya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu  telah membuat kenyataan.

“Yang pentingnya dia jawab. Apabila dia jawab,  saya tidak akan jawab sendiri, saya akan serah  jawapan itu kepada dia sendiri. Saya akan dengar  dia cakap secara berdepan, lepas pada itu dialah  jawab kepada orang lain, saya akan senyap supaya  tidak ada ruang bagi wartawan melaga-lagakan  saya dengan dia,” katanya.

Menteri Besar Kelantan itu turut menyatakan  kesediaannya untuk bertemu Anwar di Kuala  Lumpur sepanjang berada di ibu negara bagi  menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu  untuk menjelaskan perkara tersebut.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas itu dalam satu  kenyataan yang dianggap paling keras setakat ini,  mendesak Anwar menarik balik kenyataan  menyokong keselamatan Israel dan turut meminta  ketua pembangkang itu menyaman akhbar The  Wall Street Journal (WSJ) sekiranya  kenyataannya diputar-belitkan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  dilaporkan turut menegaskan Pas menolak  penyelesaian dua negara kerana haram bagi  mana-mana umat Islam menerima kewujudan  Israel, selain telah menjadi fardu ain kepada orang  Islam untuk membela dan membebaskan rakyat  Palestin yang sekian lama dizalimi rejim zionis. – mynewshub.my
Share:

0 comments:

Post a Comment

loading...

Spectacular Promotions

Blog Archive

Artikel Random

Artikel Lain

loading...