Thursday, 6 April 2017

Trump Selar Malaysia Sebagai 'Penipu'

Trump Selar Malaysia Sebagai 'Penipu'


KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menyangkal tuduhan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang melabelkan Malaysia sebagai 'penipu' perdagangan dan bertindak mengkaji semula aktiviti dagangan dua hala dengan negara maju itu.

Ketika menegaskan pendirian itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Malaysia sememangnya menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa secara adil dan saksama.

Malah, kerajaan juga tidak pernah bertindak memanipulasi mata wang atau memberi sebarang bantuan yang menyalahi undang-undang antarabangsa termasuk ditetapkan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Bagaimanapun, berikutan tuduhan itu, pihak kementerian telah mengambil langkah untuk meneliti semula aktiviti perdagangan dua hala terutama dengan AS.

"Angka (dagangan) kita menunjukkan kita mempunyai lebihan dengan AS pada sekitar AS$6 bilion. Namun mengikut AS, jumlahnya adalah melebihi angka berkenaan.

"Dari segi dasar (perdagangan) pula, kita yakin bahawa dasar kita mengikuti amalan biasa dalam perdagangan antarabangsa, termasuk yang ditetapkan oleh pihak WTO," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Perbincangan Panel 'Rakan Dalam Dunia Pasca Brexit' Malaysia-Britain di sini, hari ini. Trump dalam satu kenyataannya baru-baru ini, menuduh Malaysia antara 16 buah negara yang disifatkannya sebagai 'penipu' perdagangan dan dikatakan menjadi antara punca AS mengalami defisit perdagangan hampir AS$50 bilion.

Negara lain adalah China, Jepun, Jerman, Mexico, Ireland, Vietnam, Itali, Korea Selatan, India, Thailand, Perancis, Switzerland, Taiwan, Indonesia serta Kanada.

Selain itu, mengulas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India baru-baru ini, Mustapa berkata kementerian itu dan Kementerian Pengangkutan akan memastikan bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua negara itu dapat dilaksanakan sebagaimana dirancangkan.

"Hubungan dua hala Malaysia-India sememangnya sudah kukuh dan lawatan Perdana Menteri ke India baru-baru ini amat berjaya (dari segi perdagangan dan pelaburan).

"Kita yakin ia (lawatan Perdana Menteri) akan meningkatkan lagi pelaburan dua hala Malaysia-India menerusi pemeteraian beberapa perjanjian membabitkan 32 pihak bernilai AS$36 bilion," katanya.

Antara MoU terbesar yang ditandatangani itu membabitkan kerjasama untuk membangunkan projek pelabuhan dan bandar raya maritim bernilai kira-kira AS$32 bilion di Pulau Carey, Klang. - BERNAMA



Share:

0 comments:

Post a Comment

4 Sebab Kenapa FAST AND FURIOUS 8 Kali Ini Lain Dari Yang Lain!

Recommend us on Google!

Blog Archive

Artikel Terbaru

Baca Juga